CITA

Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) UNIMAS beroperasi seperti biasa meskipun hari ini merupakan cuti umum Hari Raya Aidiladha demi mencapai sasaran imuniti kelompok dengan kadar segera.

Para petugas barisan hadapan dan para sukarelawan di PPV IPT UNIMAS tetap menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka seperti biasa pada hari ini.

Para petugas lelaki kelihatan segak berbaju Melayu manakala petugas wanita pula anggun berbaju kurung meskipun hakikatnya masing-masing menyambut Aidiladha di pusat pemberian vaksin.

Orang ramai yang mempunyai janji temu vaksinasi hari ini juga tidak ketinggalan mengenakan busana raya sempena sambutan hari raya korban ini, memeriahkan lagi suasana PPV IPT UNIMAS.

Salah seorang sukarelawan yang juga staf UNIMAS di Pusat Pembangunan dan Khidmat Teknologi Maklumat, Alhadi bin Bujang berkata, dia tetap turun bekerja walaupun cuti umum untuk memberi semangat dan sokongan padu kepada petugas-petugas di PPV IPT UNIMAS.

Created By

Nur Azzryn Farahayn binti Zainurin