Jom Masuk IPT
Kota Samarahan, 11 Ogos 2021: Wabak koronavirus atau dikenali sebagai COVID-19 telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020. Ekoran kes-kes awal COVID-19 di Malaysia seawal Januari 2020, Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac 2020. Selaras dengan pelaksanaan PKP, semua aktiviti pekerjaan termasuk pendidikan di sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta melaksanakan pembelajaran secara atas talian atau secara maya. Pembelajaran bersifat teknologi dan revolusi ini adalah kontra dengan pertemuan secara bersemuka dan disifatkan sebagai platform utama bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih selamat dan efektif dalam usaha mencegah penularan COVID-19. Pada masa yang sama, ini memastikan semua masyarakat masih dapat menjalani kehidupan, mendapatkan maklumat, dan memperolehi ilmu sepanjang masa.
Image
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), salah sebuah universiti awam di negara ini, tidak terkecuali dan sentiasa bersiap-siaga untuk menjadi lebih inklusif, global, dan lestari dengan menyokong penuh pelaksanaan pembelajaran atas talian bagi memastikan setiap pelajar terus mendapat ilmu yang berterusan. UNIMAS juga terus mempelbagaikan program dengan kaedah maya (virtual) untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang program-program yang ditawarkan oleh Universiti. Salah satu program tahunan Kementerian Pengajian Tinggi (KPM) yang disertai oleh UNIMAS ialah ‘Jom Masuk IPT Virtual Fasa 2 (JMIPTVFasa2) yang menyasarkan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf untuk mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai peluang melanjutkan pelajaran di UNIMAS.
Program ‘JMIPTVFasa2’UNIMAS dijadualkan berlangsung selama empat hari secara maya menggunakan platform Facebook Webinar UNIMAS dari 8 Ogos hingga 12 Ogos 2021 bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Ia melibatkan sepuluh buah fakulti yang terdapat di Universiti. Antara fakulti-fakulti UNIMAS seperti Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi.
Pertemuan secara maya ini secara tidak langsung membuka peluang kepada semua pelajar STPM dan setaraf termasuk ibubapa untuk mengemukakan soalan dan pertanyaan sekaligus mendapatkan jawapan dan penjelasan yang lebih terperinci mengenai penawaran program-program akademik yang terdapat di fakulti-fakulti UNIMAS.  UNIMAS berharap mereka yang berminat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dapat memilih secara tepat jurusan kursus-kursus akademik yang diidamkan. UNIMAS sememangnya prihatin dengan kecenderungan pelajar untuk membuat pilihan yang tepat dalam pelajaran mereka, justeru, kaedah memperkenalkan UNIMAS dengan platform sebegini dilihat tepat dengan situasi pandemik yang menyukarkan pertemuan secara berdepan, namun ia bukan halangan buat UNIMAS untuk melihat anak bangsa terus maju dalam pendidikan mereka.

Created By

Sarena Binti Haidir