FCSIT
Kota Samarahan, 19 Ogos 2021 : Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menganjurkan satu seminar bertajuk Seminar Kepimpinan Komuniti Bandar di Era IR4.0 pada hari ini kelmarin.
Image
Seminar yang diadakan secara dalam talian ini merupakan satu projek tanggungjawab sosial Universiti (University Social Responsibility), seiring dengan matlamat dan komitmen UNIMAS dalam menyumbang kepada komuniti setempat.

Seminar ini merupakan anjuran bersama Persatuan Ketua Masyarakat dan Tuai Rumah Daerah Kuching (PEMAIK) dan telah dihadiri oleh seramai 20 orang ketua kaum dan ketua masyarakat di Kuching manakala penceramah-penceramah terdiri daripada para pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UNIMAS, Profesor Dr Spencer Empading Sanggin dan Profesor Madya Dr. Neilson Ilan Mersat.

Tujuan seminar ini diadakan untuk memberikan input serta sebagai wadah untuk Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat untuk berbincang mengenai isu kepimpinan komuniti Iban bandar serta mengenalpasti cabaran yang mereka hadapi sebagai kumpulan pemimpin.
Temenggong Iban Bahagian Kuching, Dato Bernard Aggan Assan, berkata seminar sebegini wajar dianjurkan memandangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh kepimpinan komuniti bandar semakin dinamik dan mereka memerlukan idea-idea baru dalam menguruskan komuniti di kawasan masing-masing.

Beliau berharap agar para peserta dalam menterjemahkan apa yang telah dipelajari daripada seminar ini kepada kepimpinan di peringkat akar umbi. Kepimpinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat yang mantap di peringkat akar umbi sudah pastinya dapat menyumbang kepada komuniti yang berjiwa kental (resilient) dan bersifat lestari dalam apa jua keadaan.
Image
Manakala Timbalan Dekan (Hubungan Industri & Masyarakat), Dr Regina Garai menjelaskan seminar ini akan diteruskan di masa akan datang dan beberapa projek USR bersama PEMAIK telah dirancang bagi tujuan meningkatkan kolaborasi dan keterlibatan UNIMAS dan komuniti sekeliling.

Created By

Sarena Haidir